Dalam aksi tersebut, pelawat lebih banyak mendominasi perlawanan apabila melancarkan serangan bertali arus menyebabkan Kelantan lebih banyak bertahan.
Jaringan pembukaan yang dicari Perak akhirnya tiba apabila rembatan kencang pemain sayap Mohd. Nazrin Mohd. Nawi pada minit ke-29 gagal diselamatkan penjaga gol TRW, Mohamad Ramadan Abd. Hamid.
Skuad Gonzales terus dihukum Perak apabila Yashir Pinto Islame meledakkan gol kedua pelawat pada minit ke-80 selepas tenang menyudahkan hantaran lintang Kenny Pallraj Davaragi.
Selepas mengharungi enam perlawanan di bawah kendalian Gonzales, Kelantan hanya menang sekali dan seri sekali manakala selebihnya tumbang di saingan Liga Super dan Piala Malaysia.
Bukan itu sahaja, Gonzales turut meleburkan rekod bersih Kelantan di gelanggang lawan apabila kalah di tangan Melaka dan T-Team. - UTUSAN ONLINE