Selepas Berpindah ke JDT, Anda Masih Penyokong Setia Ghaddar

Khamis, 20 Julai 2017

'Inilah Aksi Sebenar Kelantan' Itulah Respon Zahasmi Selepas Menang Keatas Kedah


"INILAH aksi sebenar Kelantan” Demikian komen ketua jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail selepas pasukannya berjaya menumbangkan Kedah 3-1 pada aksi Kumpulan C, kempen Piala Malaysia di Kota Bharu, malam kelmarin.

Zahasmi ternyata gembira melihat lonjakan prestasi barisan pemainnya yang kembali mempamerkan aksi lebih bertenaga sekali gus menyaingi kehebatan skuad Lang Merah, pada pertemuan tersebut.

“Walaupun persembahan malam ini (kelmarin) mungkin belum mencapai 100 peratus seperti saya mahukan, namun inilah corak permainan sebenar Kelantan, sudah ada tanda-tanda pemain kembali beraksi seperti dalam perlawanan sebelum ini.

“Memang nampak pergerakan pasukan kita masih perlahan tetapi dari segi perancangan, saya tak nafikan pemain telah bermain mengikut arahan diberikan,” katanya pada sidang media sejurus perlawanan itu.

Jurulatih itu kembali mengendalikan skuad pantai timur susulan ketiadaan pengarah teknikal, Alfredo Gonzales yang berehat buat sementara waktu akibat masalah kesihatan.

Pada pertemuan itu, The Red Warriors (TRW) keluar daripada badi kekalahan dengan Morgaro Gomis dan Abou Bakr Al-Mel, masing-masing meledak pada minit ke-54, 65 dan 94 manakala gol sagu hati Kedah hasil tendangan penalti Liridon Krasniqi (m-85).

Pengendali berusia 50 tahun itu memberitahu, kemenangan itu menyalakan semula perjuangan pasukannya untuk bersaing memburu salah satu tiket ke suku akhir dalam kumpulan tersebut.

“Bila Melaka juga menang ke atas UiTM FC, bermakna persaingan memburu tempat menjadi lebih terbuka dan saya percaya tiga mata malam ini (kelmarin) memberi motivasi buat pasukan untuk meneruskan cabaran ke peringkat seterusnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Zahasmi menjelaskan percaturannya merantai kemas pergerakan Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva Mendonca menyebabkan skuad kendalian Mohd Nidzam Adzha Yusoff gagal menguasai permainan, sepanjang aksi 90 minit itu.

“Kita tahu kekuatan Kedah banyak bergantung pada Liridon, Mohd Syazwan (Zainon) dan Sandro tetapi dengan taktikal sedemikian membolehkan Gomis bergerak bebas sehingga dia berjaya menjaringkan gol pertama, pada musim ini.

“Sejujurnya, Kelantan sepatutnya boleh menjaringkan lebih banyak gol namun penyudah kita kurang menjadi dan masalah ini kita perlu perbaiki untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya.

Sumber : SINAR HARIAN